Asas Mu'amalat


Sumber : Amalan Asas Takaful - IBFIM
2. ASAS MU’AMALAT

2.1. Pengenalan Mu’amalat

Mu’amalat dari sudut istilah bermaksud “perhubungan” dan peraturan urusan jual beli, manakala secara teknikalnya Mu’amalat merupakan sebarang bentuk peraturan perhubungan dan persetujuan bersama antara manusia dalam menyelesaikan masaalah / keperluan harian, terutamanya hal ehwal yang berkaitan dengan perdagangan dan perniagaan. Mu’amalat adalah suatu bentuk hubungan sosial yang membentuk pelbagai aktiviti ekonomi dan aktiviti bukan ekonomi.

Prinsip-Prinsip Asas Mu’amalat

Antara prinsip-prinsip asas yang memainkan peranan penting dalam membentuk perundangan Syari’ah dalam bidang Mu’amalat ialah:

Kebebasan membentuk kontrak / perjanjian

Para Muslim bebas menetapkan sebarang terma dan syarat dalam kontrak perjanjian, kecuali meletakkan syarat yang melarang melakukan transaksi yang dibenarkan atau melakukan transaksi yang dilarang.

Status asal perkara berkenaan adalah dibolehkan

Kedudukan atau taraf semua perkara kecuali hal ehwal yang berkaitan dengan adat resam adalah dibolehkan oleh syarak, sehinggalah terdapat dalil atau bukti yang melarangnya.

Dibolehkan oleh adat resam

Perumpamaan perundangan fiqh ada meyatakan “dikuatkuasakan di bawah budaya dan adat resam”. Dalam kebanyakan kontrak perdagangan Syari’ah, hampir semua perkara yang tidak menyalahi budaya dan adat resam adalah dibenarkan.

2.2. Larangan dalam Mu’amalat

Semua kegiatan dan aktiviti ekonomi adalah dibenarkan selagi ia tidak menyalahi atau bertentangan dengan tuntutan Syari’ah. Sehubungan dengan itu, kesemua 4 mazhab utama (Hanafi, Maliki, Syafi’i, dan Hanbali) bersepakat pendapat bahawa semua bentuk urusan perniagaan yang bertentangan dengan tuntutan Syari’ah dianggap batal dan tidak sah.

Prinsip-Prinsip Am:

o   Tidak dibenarkan terlibat dalam kotrak jual beli barangan yang ditegah dari hukum syarak seperti minuman keras dan lain-lain produk yang dilarangan.
o   Tidak dibenarkan terlibat dalam kontrak jual beli yang terdapat unsur-unsur riba (bunga atau faedah).
o   Kontrak yang melibatkan unsur-unsur perjudian adalah dilarang dalam Syari’ah Islam.
o   Kontrak yang melibatkan unsur-unsur ketidakpastian (gharar) juga tidak dibenarkan. Kontrak boleh dibatalkan sekiranya terdapat unsur gharar.

Riba (bunga atau faedah)

Istilah riba dari sudut bahasa bermaksud ‘melebihkan’ atau ‘tambahan’ kepada sesuatu transaksi.

Larangan berkaitan riba adalah sepertimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman!, Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya” (Al-Qur’an, 3: 130).
 
Dan Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, yang maksudnya,

“Apabila emas ditukar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam – ia mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus (pada satu masa). Sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana disukai tetapi bayaran hendaklah dibuat dengan segera” (Riwayat Muslim).

Dari Hadis yang dinyatakan di atas, emas dan perak adalah mewakili wang ringgit; sementara gandum, barli, buah tamar dan garam adalah mewakili barangan makanan. Kesemua barangan berkenaan termasuk dalam jenis barangan ribawi.

Adalah jelas bahawa pengharaman boleh dibahagikan kepada 2 jenis yang berbeza. Riba yang pertama ialah larangan menambah jumlah hutang (duyun) yang juga dikenali sebagai Riba al-Duyun (Riba Hutang Piutang); sementara dalam urusan pertukaran barangan ribawi yang sama jenis ditukar dengan kadar / nisbah tukaran yang berbeza. Riba ini juga dikenali sebagai Riba al-Buyu’ (Riba Jual Beli). Secara ringkasnya, ia adalah seperti berikut:

Riba al-Duyun (Riba Hutang Piutang) terbentuk melalui pinjaman kewangan iaitu;

i. Riba al-Qard – di mana sejumlah tambahan (bunga atau faedah) dari pinjaman pokok dikenakan dan dipersetujui ketika kontrak dibuat.

ii. Riba al-Jahiliyah – di mana hutang yang dibayar melebihi pinjaman pokok kerana si peminjam lewat atau tidak mampu membayar hutangnya pada waktu yang ditetapkan.

Riba al-Buyu’ (Riba Jual Beli) terjadi melalui urusan pertukaran barang; iaitu Riba al-Fadl (barangan ribawi sama sejenis tetapi tanpa persamaan timbangan atau sukatan) dan Riba al-Nasi’ah (penangguhan penyerahan atau penerimaan barangan ribawi).

Peraturan pertukaran barangan berikut digunakan dalam menentukan sama ada transaksi berkenaan dikategorikan sebagai Riba al-Fadl atau Riba al-Nasi’ah.

Peraturan 1:

Pertukaran barangan ribawi yang sama jenis (dan kadar atau sukatan) hendaklah menggunakan kadar yang sama berat, sukatan atau jumlah serta bayaran / penghantaran barangan hendaklah dibuat pada waktu itu juga.

o Sekiranya pembayaran / penghantaran barangan dibuat dengan serta merta tetapi kadar berat, sukatan atau jumlahnya tidak sama, maka berlakulah Riba al-Fadl.

o Sekiranya pembayaran / penghantaran barangan ditangguhkan tetapi kadar berat, sukatan atau jumlahnya adalah sama, maka berlakulah Riba al-Nasi’ah.

Peraturan 2:

Bayaran dan penghantaran barangan ribawi dari jenis dan kadar yang berbeza hendaklah dibuat pada waktu itu juga walaupun mungkin dengan harga yang berbeza. Kadar berat, sukatan atau jumlah barangan yang ditukar tidak menjadi keutamaan.

o Sekiranya pembayaran dan penghantaran barangan tidak dibuat dengan segera (on the spot), maka Riba al-Nasi’ah telah berlaku.

Perjudian (Maisir)

Perjudian ialah sebarang aktiviti urus niaga yang di dalamnya terdapat unsur-unsur permainan yang melibatkan pertaruhan atau perjudian. Sesuatu kontrak yang melibatkan unsur-unsur perjudian (maisir) adalah dianggap batal (batil). Judi boleh ditakrifkan sebagai suatu pertaruhan atau mengenakan caj tertentu yang mana bayaran tersebut akan lupus sekiranya seseorang itu tidak berjaya memperolehi keuntungan / ganjaran yang diharapkan. Ia juga dikenali sebagai “permainan dengan hasil bersih sifar”, iaitu nilai ganjaran yang diterima oleh pemenang pertaruhan dan mereka yang kalah pertaruhan adalah bersamaan dengan sifar. Kemenangan yang diperolehi oleh satu pihak adalah kerugian kepada pihak yang lain. Sekiranya sesuatu transaksi itu melibatkan perkara yang menyalahi undang-undang dan membawa keburukan atau kemusnahan harta benda, maka ia boleh dianggap sebagai perjudian.

Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya: “Mereka akan bertanya kepadamu tentang minuman keras dan judi, katakanlah: pada keduanya terdapat dosa besar dan manfaat bagi manusia. Tetapi dosanya lebih besar dari pada manfaatnya…” (Al-Qur’an, 2: 219)

Ketidakpastian (Gharar)

Gharar atau ketidakpastian dalam sesuatu transaksi atau aktiviti yang tidak berlandaskan Syari’ah, yang menyebabkan berlakunya ketidakadilan kepada pihak-pihak yang terlibat. Ini adalah disebabkan kuantiti dan kualiti barangan yang dinyatakan dalam transaksi berkenaan tidak diketahui atau tidak ditetapkan nilainya. Ayub (2007) mentakrifkan gharar sebagai sejenis permainan judi, untung nasib, pertaruhan atau risiko. Gharar berlaku apabila terdapat unsur-unsur ketidakpastian dalam transaksi dimana ciri-ciri dan kewujudannya tidak dapat dipastikan secara tepat, disebabkan sifatnya yang berisiko. Keadaan tersebut menyebabkan kontrak berkenaan dianggap batal atau boleh dibatalkan.

Rasulullah s.a.w. juga melarang umatnya terlibat dalam Gharar, Al-Baji al-Andalusi menyatakan:

Nabi Muhammad s.a.w melarang urusan jual beli yang melibatkan gharar dan boleh menyebabkan urusan tersebut tidak sah. Jual beli melibatkan gharar bermaksud transaksi di mana terdapat unsur-unsur gharar yang nyata dan jelas sehingga ia boleh dikategorikan sebagai jual beli gharar. Para ulama’ bersependapat bahawa jual beli seperti ini adalah dilarang dan tidak sah. Sebaliknya, gharar kecil tidak menyebabkan urusan jual beli terbatal kerana para ulama berpendapat tiada kontrak yang benar-benar bersih dari unsur-unsur gharar.

Gharar boleh dikategorikan kepada dua pecahan kecil iaitu Gharar Kecil dan Gharar Besar;

(i) Gharar Kecil (Yasir)
 
Gharar Kecil diberi kelonggaran dan boleh dimaafkan kerana ia tidak membatalkan kontrak jual beli, bermaksud unsur-unsur gharar di dalamnya tidak mempengaruhi komponen penting dan syarat-syarat utama kontrak (contohnya syarat-syarat berkaitan aset, harga, bahasa yang digunakan dan sebagainya).
 
(ii) Gharar Besar (Fahish)

Gharar yang menyebabkan kontrak tidak sah dikenali sebagai Gharar Besar. Secara amnya, gharar besar mengandungi ciri-ciri berikut;

Unsur-unsur ketidakpastian (gharar) terlalu nyata sehingga ia tidak boleh diterima sebagai suatu kontrak yang sah; atau ia terlalu kabur sehingga sukar untuk dinilai dan difahami.

2.3. Konsep Kontrak dalam Mu’amalat

Al-Barbati dalam bukunya, Al-‘Inayah ‘ala Fath al-Qadir mendefinisikan ‘aqad atau kontrak seperti berikut:

“Hubungan yang sah di sisi undang-undang tercipta melalui ikatan dua pengisytiharan dan wujud kesan perundangan atas perkara pokok yang dimaksudkan”.

‘Aqad dari sudut bahasa bermaksud “ikatan” atau “simpulan”. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai ‘kontrak’. Kontrak juga boleh didefinisikan sebagai “pernyataan persetujuan pertukaran hak milik atas barangan / perkara pokok yang ditawarkan oleh penjual dan pernyataan penerimaan barangan / perkara pokok oleh pembeli. Kontrak yang lengkap perlu mengandungi perkara-perkara berikut:

Rukun Aqad

i. ‘Aqidain (pihak-pihak yang terikat dalam kontrak) - Ia merupakan syarat utama yang menjadikan kontrak tersebut sah dimana pihak-pihak yang terlibat memenuhi syarat kelayakan mengikat kontrak. Keupayaan memenuhi syarat kelayakan menjadikan seseorang itu mempunyai hak dan layak untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

ii. Sighah (pernyataan ijab dan qabul) - Sighah ialah suatu bentuk kontrak yang mengandungi ikrar ijab (lafaz penjual) dan qabul (lafaz pembeli) atau tawaran dan penerimaan. Tawaran yang dibuat oleh pihak pertama dipanggil ijab kerana ia menawarkan dan mengesahkan persetujuan penerimaan oleh pihak kedua.

iii. Ma’qud alaih (barangan dan harga jual beli) - Ia adalah perkara pokok atau barangan yang dimaksudkan di dalam kontrak. Mengikut perundangan Islam, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi barangan berkenaan untuk menjadikan kontrak tersebut sah; iaitu barangan tersebut hendaklah sah disisi undang-undang, wujud (sedia ada) dan telah dikenalpasti.

No comments:

Post a Comment

Home
Blogger TemplatesMy Blogger TricksAll Blogger Tricks
Blogger Widget