Sumber : Amalan Asas Takaful - IBFIM
PENGENALAN TAKAFUL
PENGENALAN
Dalam zaman sebelum kedatangan Islam, adalah menjadi adat orang-orang Arab pagan untuk membayar pampasan atau diyat, di mana penjenayah perlu membayar ganti rugi berupa ‘Darah-Wang’ (diyat) sebagai pampasan kepada ahli keluarga mangsa yang telah mati dibunuh. Ia adalah menjadi hak keluarga si mati untuk menuntut pampasan daripada suku atau keluarga pesalah / pembunuh. Adat membayar diyat diamalkan bagi menggantikan adat primitif sebelumnya iaitu ‘hutang darah dibayar darah’. Diyat diperkenalkan bagi mengelakkan berlakunya balas dendam dan peperangan antara puak. Sistem pampasan 'darah-wang' terus diamalkan walaupun selepas kedatangan Islam kerana kebaikan dan manfaat berikut;
o Ia mengurangkan tragedi pertumpahan darah dan persengketaan.
o Menjadikan tanggungjawab individu sebagai tanggungjawab kolektif.
o Mengurangkan beban kewangan individu yang terlibat.
o Memupuk semangat kerjasama dan persaudaraan dikalangan puak masing-masing
Doktrin ini telah mendapat perkenan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan kemudiannya diwajibkan dalam tempoh Khalifah kedua. Ini adalah doktrin asas yang diperkembangkan dalam amalan insurans Islam hari ini.
Dalam Islam, semua aktiviti ekonomi adalah sah dan dibolehkan di sisi undang-undang selagi ia lakukan dengan tidak melampaui batas mana-mana rukun yang telah ditetapkan melalui dua sumber rasmi undang-undang Syari’ah iaitu al-Qur’an dan Sunnah. Selaras dengan ketetapan tersebut, kesemua empat aliran mazhab utama iaitu Hanafi, Maliki, Shafi’i, dan Hanbali telah sebulat suara bersetuju bahawa semua bentuk transaksi perniagaan yang mengandungi unsur faedah / bunga (riba), ketidakpastian (gharar) dan perjudian (maisir) dianggap tidak sah/haram.
Doktrin Maqasid Syari’ah menyatakan adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk melindungi aset ketara, harta benda, kebajikan dan kesejahteraan ummah. Kaedah / bentuk perlindungan yang diamalkan perlu mematuhi ketetapan Syari’ah dan garis panduan undang-undang dan prinsip-prinsipnya. Malangnya, hampir kesemua kaedah insurans konvensional adalah berpaksikan amalan-amalan yang dilarang oleh Syari’ah.
1. DEFINISI TAKAFUL
Perkataan ‘Takaful’ berasal dari kata kerja bahasa Arab kafala yang bermaksud menjaga atau mejamin keperluan seseorang. Oleh itu, permuafakatan antara sekurang-kurangnya dua pihak yang bersetuju untuk saling jamin-menjamin antara satu sama lain sekiranya berlaku kerugian disebabkan ditimpa bencana atau musibah, ia ditakrifkan sebagai 'Takaful '.
Begitu juga, jaminan bersama yang mejadi nadi dalam konsep Takaful boleh diterjemahkan dalam mengendalikan operasi perniagaan atau transaksi komersil di sektor tijari atau sektor perniagaan sebagai salah satu pemain kewangan Islam dalam pasaran ekonomi. Dengan cara ini, seperti perbankan, Takaful bukan satu alternative tetapi lebih kepada kewajipan kepada agama.
2. KONSEP TAKAFUL
Majlis Akademik Liga Dunia Islam, selepas membuat pengubahsuaian yang sewajarnya telah menyimpulkan bahawa bentuk kerjasama insurans boleh diterima dan dianggap sebagai alternatif kepada insurans. Sistem yang berfungsi selaras dengan rangka kerja Islam perlu dirangka berasaskan konsep-konsep berikut:
2.1. Takaful
Para ulama telah sebulat suara bersetuju bahawa perlindungan yang sesuai dengan kehendak Syari’ah hendaklah berdasarkan konsep Takaful Islam. Takaful adalah kata nama yang berasal dari kata kerja bahasa Arab, kafala, bermaksud untuk menjaga dan menjamin keperluan seseorang. Takaful bermaksud gotong-royong di kalangan kumpulan, iaitu setiap ahli kumpulan berusaha untuk membantu orang-orang yang memerlukan dikalangan kumpulan mereka. Konsep Takaful adalah berdasarkan perpaduan, tanggungjawab bersama dan persaudaraan di kalangan ahli. Takaful boleh ditakrifkan sebagai tindakan sekumpulan individu yang berhasrat untuk saling menjamin antara satu sama lain dalam kumpulan tersebut dari kerugian atau kerosakan yang mungkin menimpa keatas salah seorang daripada mereka.
Ciri utama operasi Takaful adalah seperti berikut:
o Pihak syarikat atau pengendali Takaful bukanlah pihak yang menanggung risiko, pesertalah yang saling menjamin dan bersetuju melindungi antara satu sama lain.
o Syarikat bertindak sebagai pemegang amanah bagi pihak peserta dalam usaha untuk menguruskan operasi perniagaan Takaful. o Semua sumbangan (premium) yang dibayar oleh peserta akan dikumpulkan kedalam Kumpulan Wang Takaful bagi tujuan pembayaran manfaat Takaful.
o Dana Takaful pada masa yang sama boleh dilaburkan dalam mana-mana bidang pelaburan yang diluluskan oleh Majlis Syari’ah.
2.2. Mudharabah (berkongsi keuntungan)
Mudharabah boleh ditakrifkan sebagai kontrak perkongsian keuntungan komersial di antara pembekal atau penyedia dana dan usahawan yang menjalankan usaha perniagaan.
Mudharabah ialah permuafakatan berkongsi keuntungan di mana satu pihak yang dikenali sebagai sahib al-mal (peserta) menyediakan semua modal perniagaan. Pihak yang satu lagi, yang dikenali sebagai mudharib atau usahawan (pengendali Takaful), yang tidak memiliki modal tetapi memiliki kepakaran untuk mengendalikan perniagaan. Semua keuntungan daripada usaha niaga ini akan dikongsi di antara kedua-dua pihak berdasarkan nisbah yang dipersetujui, umpamanya 50:50 atau 60:40 atau apa sahaja yang dipersetujui bersama.
Untuk menjadikan kontrak Mudharabah sah mengikut hukum syara', pelbagai elemen atau komponen perlu wujud, iaitu:
o Penyedia modal
o Usahawan o Modal
o Aktiviti
o Nisbah Keuntungan
o Tawaran dan Penerimaan
Ciri-ciri Utama Kontrak Mudharabah ialah;
o Sekiranya usaha niaga tersebut memperolehi keuntungan, maka keuntungan akan dikongsi antara Pengendali Takaful dan pemberi modal.
o kontrak berkenaan boleh dibatalkan dan semua modal terkumpul serta keuntungan (perniagaan Takaful Keluarga sahaja) hendaklah dikembalikan kepada pemberi modal, setelah ditolak perbelanjaan pentadbiran.
o pemberi modal perlu memberi persetujuan untuk melantik usahawan (Pengendali Takaful) untuk mengendalikan usaha niaga bagi pihaknya.
o pemberi modal tidak akan mengeluarkan arahan Pengendali Takaful atau terlibat dalam pengurusan perniagaan Takaful.
2.3. Tabarru’
Tabarru’ adalah perkataan Arab yang bermaksud derma atau hadiah. Tabarru’ ialah dimana Peserta bersetuju untuk melepaskan semua bahagian atau sebahagian derma atau sumbangan bagi membolehkan ia memenuhi tanggungjawab saling membantu dan saling menjamin.
Dalam kontrak Takaful, apa yang dimaksudkan dengan tabarru’ ialah sejumlah tertentu derma ikhlas yang dibuat oleh peserta bagi tujuan yang tertentu seperti yang dinyatakan dalam perjanjian atas semangat persaudaraan dan saling berkerjasama. Dana ini akan digunakan untuk membantu ahli yang ditimpa kesusahan.
Tabarru’ kini telah mengIslamkan kontrak insurans dengan membuang semua unsur-unsur yang bertentangan dengan Syari’ah. Inilah perbezaan asas yang paling ketara antara insurans yang mematuhi Syari’ah dengan insurans konvensional. Tanpa konsep derma, urus niaga akan bersifat jual beli insurans iaitu membeli janji bahawa beberapa bentuk manfaat akan dibayar sekiranya peserta menghadapi nasib malang. Janji mungkin atau tidak mungkin dipenuhi, bergantung kepada sama ada peristiwa yang diinsuranskan itu berlaku atau tidak. Sekiranya tiada sebarang tuntutan, penanggung insurans akan berpeluang memperolehi kesemua premium yang dibayar.
Walau bagaimanapun, semangat yang tertanam dalam konsep tabarru’ ialah peserta tidak hanya memikirkan perlindungan diri sendiri, malah dia juga memikirkan untuk membantu peserta lain. Peserta mesti sedar bahawa sumbangan ikhlas yang dihulur bukan sahaja membolehkan dirinya dan saudara-saudara seagamanya yang lain diberi perlindungan, malah ia juga akan diberi ganjaran di akhirat kelak. Ini berbeza dengan insurans konvensional di mana seseorang membeli insurans perlindungan tertentu untuk diri mereka sendiri sahaja.
Apa yang membuatkan konsep tabarru' lebih menarik ialah peserta mendapat dua kali ganda manfaat apabila menyertai skim Takaful, pertamanya, mereka mendapat perlindungan insurans yang halal dan kedua, pada masa yang sama ia mendapat ganjaran pahala atas amalan baik yang dilakukannya.
2.4. Wakalah
Istilah wakalah dalam Bahasa Arab ertinya wakil atau agensi. Oleh itu di bawah struktur agensi, wakalah ialah hubungan agensi yang dipersetujui bersama di antara dua pihak untuk menjalankan aktiviti perniagaan tertentu. Berdasarkan premis ini, model yang menggambarkan satu perjanjian agensi antara pengendali yang bertindak sebagai ejen atau 'wakil' kepada peserta yang bertindak sebagai prinsipal, untuk menguruskan penglibatan peserta dalam pelbagai produk Takaful yang disediakan oleh pengendali.
Sebagai balasan kepada perkhidmatan agensi yang diberi, pengendali dibenarkan untuk mengenakan bayaran di bawah perjanjian tersebut. Fi atau yuran perkhidmatan dibayar dari dana sumbangan Takaful yang didermakan oleh peserta. Di bawah model ini, perbelanjaan pengurusan boleh dikenakan kepada dana Takaful sebagai bayaran pendahuluan.
3. APLIKASI DAN MANFAAT TAKAFUL
Aplikasi Takaful
Pakar perundangan memutuskan bahawa sistem insurans yang mengamalkan etika rangka kerja Islam harus dirangka dengan mengambil kira dasar-dasar berikut:
Ta’awun
Takaful adalah berdasarkan konsep Ta'awun yang bermakna saling membantu. Peserta bersetuju untuk membantu antara satu sama lain dalam aspek kewangan sekiranya timbul keperluan (seperti yang dinyatakan dalam kontrak Takaful), dengan menyumbang kepada dana bersama.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tolong-menolonglah dalam perkara kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara-perkara yang menimbulkan permusuhan” (Al-Qur’an, 5: 2)
Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan sentiasa membantu hambaNya selagi dia membantu orang lain” (Riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud).
Pemilikan
Di bawah prinsip Milkiyah (pemilikan), manfaat sijil ialah pemilikan sempurna (Milkiyah) oleh peserta. Apabila peserta meninggal dunia, manfaat akan diamanahkan kepada penama.
Tanggungjawab Bersama dan Saling Menjamin
Sejajar dengan disiplin Syari’ah Takaful (yang bermaksud tanggungjawab bersama dan saling menjamin), peserta saling bersetuju untuk memberikan pampasan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
Tanggungjawab dan Perlindungan Bersama
Peserta skim Takaful bersetuju untuk memikul tanggungjawab bersama atau berkongsi tanggungjawab.
Pampasan Bersama
Pengesahan tentang kewujudan konsep Takaful adalah berasal dari adat resam (‘urf) orang-orang Arab yang dipanggil Aqila. Ia merupakan suatu bentuk awal insurans melalui perlindungan bersama dalam satu kumpulan individu yang mengambil langkah-langkah untuk menampung kerugian yang ditanggung. Peserta Skim Takaful kini mengamalkan konsep bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.
Masalih al-Mursalah (Kepentingan Awam)
Takaful juga antara lain adalah berasaskan kepada doktrin Masalih al-Mursalah atau kepentingan awam. Tujuan utama ialah untuk membantu meringankan beban ahli-ahli masyarakat yang ditimpa musibah dan menanggung kerugian.
Kontrak
Sijil Takaful mengikat pihak-pihak yang bersetuju dengan tawaran dan penerimaan berdasarkan prinsip-prinsip kontrak. Hubungan antara pengendali Takaful dan peserta adalah tertakluk di bawah satu kontrak khas iaitu kontrak wakalah atau kontrak mudharabah.
o Memenuhi tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan keluarga
o Menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka yang kurang bernasib baik o Menjauhi amalan riba (faedah), maisir (perjudian) dan gharar (ketidakpastian) dan elemen-elemen lain yang dilarang
o Menggalakkan nilai-nilai moral, etika dan ketelusan dalam semua aktiviti dan operasi perniagaan.
o Melalui derma kebajikan (tabarru') yang dihulur, ia membolehkan peserta Takaful mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan mencapai ketenangan fikiran.
o Menggalakkan semangat perpaduan, gotong-royong dan persaudaraan.
Rangkakerja operasi dan kawal selia perniagaan Takaful di Malaysia dikawal oleh peraturan-peraturan berikut :
o Akta Syarikat 1965
o Akta Takaful 1984 o Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan Institusi Kewangan Islam (AAOIFI)
o Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB)
o Akta Bank Negara Malaysia 2009
o Lembaga Standard Perakaunan Malaysia (MASB)
o Akta Cukai Pendapatan 1967
No comments:
Post a Comment